Bukan Kem Lasak Ala Tentera
BARANGKALI ramai yang beranggapan bootcamp merujuk kepada kem ala tentera dengan aktiviti yang serba lasak berserta tenaga pengajarnya yang tegas dan garang.
Mungkin ada benar dan tidaknya. Selain penggunaan perkataan seperti rekrut, sarjan dan korporal, Original Bootcamp misalnya, tidaklah cenderung kepada rutin senaman ala ketenteraan yang lazimnya menekankan aspek ketegasan, latihan yang serius serta hukuman.
“Setelah berada dalam industri ini, kami dapati gaya ketenteraan bukanlah cara terbaik mengendalikan bootcamp untuk masyarakat negara ini.
“Sebab itulah, sebahagian daripada rutin senaman diisi dengan pelbagai permainan yang dilakukan secara berkumpulan dalam suasana serba menyeronokkan,” kata jurulatihnya, Faizal Ariff Abdullah.
Original Bootcamp yang ditubuhkan pada Julai 2009 diasaskan oleh Selvakumar Vijayakumar yang disertai Simran Latif sebagai jurulatih utama diikuti oleh Faizal Ariff.
Selvakumar menimba pengalaman sebagai rekrut bootcamp ketika berada di Australia lantas mengambil keputusan untuk memperkenalkannya di negara ini.
Pada Mei 2010, Original Bootcamp berpisah daripada syarikat sekutunya, Original Bootcamp di Australia, tetapi mengekalkan nama Original Bootcamp di negara ini memandangkan nama itu semakin dikenali di Malaysia.
“Antara aspek penting ialah mencipta persekitaran yang positif dan senamannya juga mudah diterima sesiapa saja terutama mereka yang tidak pernah bersenam langsung.
“Rutin senamannya direka untuk meningkatkan kecergasan individu secara umum termasuk mengurangkan lemak serta meningkatkan kekuatan, ketahanan serta kawalan pergerakan otot tubuh,” katanya.
Latihan asas seperti berlari, tekan tubi, plank dan squat (duduk mencangkung) antara rutin yang banyak diberi penekanan. Tidak kira lelaki atau wanita, rutin asas itu perlu dilakukan semua rekrut cuma perbezaan mungkin daripada segi bilangan dan pengulangannya, bergantung kepada tahap kecergasan rekrut.
“Mungkin ramai tidak percaya, tetapi senaman berkenaan yang juga sebahagian daripada pergerakan asas manusia itu ternyata banyak memberi kesan.
“Paling penting, setiap rutin senaman itu perlu dilakukan dengan betul terlebih dulu sebelum rekrut diperkenalkan kepada senaman yang lebih pelbagai,” katanya.
Apapun dia mengakui, segelintir pihak mungkin tidak begitu menyukai rutin dan persekitaran senaman bootcamp di Original Bootcamp terutama bagi mereka yang gemar bersenam sendirian.
“Bagi golongan sedemikian, mereka lazimnya kurang menggemari senaman berkumpulan apatah lagi yang banyak unsur permainan. Mereka yang lebih menyenangi senaman yang serius juga mungkin sukar menerima kaedah di bootcamp ini,” katanya.
Kira-kira 70 peratus rekrut di Original Bootcamp terdiri daripada wanita dan secara keseluruhan, paling ramai rekrut berusia antara 28 hingga 35 tahun. Ada tiga sesi latihan iaitu jam 5.45 pagi, 7 pagi dan 6.45 petang tetapi siapa sangka, selain sesi popular jam 6.45 petang, ramai yang memilih sesi 5.45 pagi.
“Mungkin sesi paling awal itu memudahkan mereka, misalnya mereka masih sempat pulang ke rumah, mandi dan bersiap sebelum ke tempat kerja,” katanya.
Ada tiga lokasi Original Bootcamp yang boleh dikunjungi iaitu di Padang Astaka, Petaling Jaya serta Padang Merbuk dan Taman KLCC, Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut mengenai Original Bootcamp, layari www.bootcamp.com.my
Pada Disember nanti, ikuti pengalaman beberapa rekrut yang berjaya menurunkan berat badan serta menangani masalah kesihatan menerusi aktiviti bootcamp yang mereka sertai setiap minggu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18