Kongsi ‘air Tangan’ Ibu Hasil Biskut Enak
Planta, jenama marjerin Malaysia yang dipercayai sejak turun-temurun baru-baru ini melancarkan kempen Seceria Air Tangan Ibu sempena Aidilfitri akan datang sebagai pencetus inspirasi buat golongan ibu untuk berkongsi ‘air tangan’ mereka serta menghasilkan biskut dan kek enak yang berwarna-warni.
Sememangnya diakui hakikat bahawa sentuhan air tangan ibu membawa keceriaan kepada suasana raya untuk seisi keluarga, terutamanya kanak-kanak.
Melalui kempen berkenaan, resipi biskut dan kek Planta ditampilkan lebih ceria dan berwarna-warni dengan ilham daripada warna pelangi. Antara biskut yang sering menjadi pilihan ibu ialah tat nanas dan semperit pandan.
Selain resipi tradisi, menerusi kempen berkenaan, Planta turut memperkenalkan resipi kuih moden mengikut selera terkini iaitu Biskut Buah Hati dan Biskut Roda Warna.
Resipi Planta yang diperkenalkan melalui kempen itu dibawa secara langsung menerusi segmen Wanita Hari Ini di TV3 bermula 11 Jun ini dan disiarkan selama tujuh minggu.
Kempen yang dihoskan oleh selebriti dan pelakon, Sharifah Shahirah itu mengetengahkan resipi biskut moden yang mudah dibuat, menarik dan lazat. Sepanjang segmen berkenaan, Sharifah Shahirah bersama keluarganya akan bersama-sama menyiapkan biskut Planta yang berwarna-warni.
Menurut Pengerusi Unilever Malaysia dan Singapura, Rakesh Mohan, jenama Planta sudah sebati dengan ibu dan menerusi segmen yang diadakan, ia diharap mampu memberi inspirasi kepada golongan itu untuk meneruskan tradisi menyiapkan biskut untuk keluarga terutama ketika menyambut perayaan.
“Biskut yang dihasilkan ibu sendiri digemari oleh anak-anak. Sudah pasti ia tiada tandingan kerana dihasilkan dengan air tangan dan kasih sayang daripada seorang ibu,” katanya pada pelancaran kempen itu di The Saddle Coffee House, Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengurus Jenama Peruncitan Makanan dan Minuman Unilever Malaysia, Tanya Teng.
Sementara itu, Sharifah Shahirah berkata, dia teruja untuk menjayakan segmen televisyen Planta dan sebagai seorang anak serta ibu, dia amat memahami betapa pentingnya air tangan ibu dalam penyediaan masakan untuk keluarga.
Katanya, secara tidak langsung, segmen itu memberikannya peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan ketika sibuk menyediakan kuih raya sendiri.
“Saya berharap kempen itu akan memberi inspirasi kepada semua ibu di luar sana untuk mencetuskan keajaiban di dapur, biskut penuh warna dan keseronokan menjelang raya ini,” katanya.
Selain berkongsi resipi, program itu juga mempunyai matlamat mengajak kaum ibu menyertai kempen Beramal Bersama Planta yang akan diadakan bermula 16 Julai hingga 20 Julai ini di pasar raya Mydin dan Giant Semenanjung Malaysia.
Menerusi kempen itu, Planta mensasarkan 50,000 keping biskut akan dihasilkan oleh kaum ibu yang akan dijual di dua pasar raya berkenaan. Hasil jualan kemudian akan disalurkan ke rumah anak yatim yang terpilih.
Orang ramai boleh turut serta menyumbang dan beramal bersama Planta apabila mereka membeli Planta dan menghasilkan biskut di pameran bergerak yang disediakan di Mydin dan Giant terpilih.
Maklumat lanjut mengenai lokasi pasar raya Mydin dan Giant yang terpilih dan cara menyertai boleh didapati di saluran YouTube Planta di www.youtube.com/resepiplanta.
Sementara itu, peserta kempen, Iza Sharmila Mohd Sallehuddin, 25, berkata, dia gembira dapat menyertai kempen berkenaan bagi membantu golongan memerlukan di negara ini.
Menurut Iza, dia bersama kakaknya, Iziana Shafira, 28, tidak teragak-agak menyatakan persetujuan menyertai kempen itu apabila dipelawa oleh Planta kerana matlamatnya selari dengan minat mereka dalam bidang pembuatan biskut.
“Kami sememangnya gemar membakar biskut, malah mempunyai perniagaan talian yang aktif menjual pelbagai jenis biskut. Apa yang membuatkan kami tertarik untuk menyertai kempen ini adalah bukan saja untuk membantu kanak-kanak, tetapi ia memang selari dengan kasih sayang kami pada kaum ibu di mana perniagaan kami sendiri dimulakan kerana ibu.
“Lagipun, perniagaan kami adalah berkonsepkan amal dan kami percaya dengan usaha membantu orang lain yang memerlukan. Sejak sebulan lalu, kami aktif bersama Planta dan yakin sasaran menghasilkan 50,000 biskut dapat direalisasikan,” katanya.