Vaksin Mampu Halang CAP
Tahukah anda penyakit respiratori penyebab kedua kemasukan pesakit ke hospital dan maut di negara ini? Data terbaru menunjukkan penyakit respiratori direkodkan menyebabkan 12.41 peratus kemasukan ke wad manakala 21.7 peratus lagi kematian.
Penyakit respiratori adalah masalah kesihatan yang serius dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan kita sering terdedah kepada semua jenis virus dan bakteria pada persekitaran cuaca tropika yang hangat di negara ini. Sudah tentu ia mencetuskan kebimbangan kewujudan penyakit yang paling mendesak dalam kategori pernafasan iaitu Pneumonia Daripada Komuniti (CAP).
Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, pneumonia adalah keradangan yang memberi kesan kepada bahagian penyerapan oksigen dalam paru-paru atau ringkasnya dikenali jangkitan paru-paru. Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus yang juga mikroorganisma.
Penyakit ini menyebabkan kegagalan respiratori dengan mencetuskan kombinasi tindakan jangkitan dan keradangan iaitu paru-paru dipenuhi dengan cecair dan menjadi keras. Kesukaran dalam mengekstrak oksigen mungkin memerlukan tempoh panjang pengudaraan mekanikal untuk terus hidup.
Streptococcus pneumoniae adalah bakteria yang biasa menyebabkan CAP dan ia dikenali sebagai Pneumococcal CAP. Mikroorganisma ini adalah satu daripada punca utama kematian dan kemasukan ke wad di seluruh dunia. Ia diklasifikasikan sebagai bukan invasif apabila bakteria penyebab jangkitan dalam paru-paru, tetapi tidak dikesan dalam darah pada masa sama. Bakteria invasif pula yang memasuki saluran darah (bacteraemia pneumonia) atau mana-mana bahagian lain badan dan jenis yang paling teruk.
CAP adalah berbeza dengan pneumonia dari hospital iaitu penyakit yang datang daripada pesakit yang hidup pada persekitaran sistem penjagaan kesihatan dalam jangka panjang atau baru-baru ini melawat hospital.
Pemahaman literal mengenai CAP adalah kita mendapat radang paru-paru melalui kehidupan sehari-hari dalam komuniti seperti bercampur dengan orang ramai, berada dalam situasi kesesakan atau bersosial.
Asia pada masa ini dan dijangka terus menempatkan bahagian dominan penduduk dunia. Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kadar penduduk warga emas berusia 60 tahun ke atas di rantau berkenaan dijangka meningkat daripada 9.9 peratus pada 2010 kepada 23.6 peratus pada 2050.
Di kebanyakan negara maju, bilangan penduduk berusia 65 tahun ke bawah dijangka berkembang lebih 250 peratus termasuk Filipina, Malaysia, India dan Bangladesh. Statistik ini menunjukkan kadar membimbangkan penyakit dalam kalangan dewasa dan indikasi kepada keperluan segera untuk menangani kesan pneumonia dalam kalangan dewasa.
Banyak faktor menyebabkan seseorang dijangkiti pneumonia dan ia lebih berbahaya kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah. Komplikasi kesihatan sedia ada seperti penyakit pulmonari tersumbat kronik (COPD) iaitu penyakit paru-paru yang menyukarkan untuk bernafas, semput, penyakit hati, kanser dan diabetes boleh menyebabkan mereka lebih cenderung mendapat pneumonia.
Faktor lain seperti merokok, pengambilan alkohol berlebihan dan persekitaran hidup juga mengurangkan sistem imun dan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada risiko mendapat jangkitan, cenderung mendapat komplikasi dan kematian.
Mereka yang lebih berusia dikira majoriti penghidap jangkitan CAP kerana keupayaan imun yang rendah dan lemah secara semula jadi disebabkan penuaan. Ini termasuk warga emas yang sihat dan aktif. Contohnya ibadat haji dan umrah adalah persekitaran yang ideal untuk mendapat CAP
Penyelidikan menunjukkan bahawa pneumonia adalah penyebab terbesar kemasukan wad oleh jemaah haji ketika musim ibadat berkenaan dengan 19.7 peratus kadar kemasukan ke hospital. Ibadat haji menarik kunjungan jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia untuk berhimpun di kawasan yang terhad dan masa yang singkat dan ini memudahkan penyebaran penyakit berjangkit dan epidemik.
Pneumonia yang disebarkan daripada manusia ke manusia melalui titisan udara ke respiratori seperti bersin dan batuk. Oleh itu, ibadat haji memungkinkan persekitaran yang baik penyebaran penyakit terbabit.
Namun, berita baiknya adalah CAP adalah penyakit yang boleh dicegah dengan penggunaan vaksin dan penawar ini wujud sejak dua abad lalu. Kajian terbaru dikenali Percubaan Imunisasi CAP di Kalangan Dewasa (CAPita) menyiasat keberkesanan vaksin untuk imuniti dalam bentuk kumpulan dalam kalangan orang dewasa berusia lebih 65 tahun.
Ini adalah percubaan pertama vaksin dikaitkan dengan pneumococcal kepada dewasa yang menekankan kecekapan vaksin pneumococcal untuk dewasa. Kajian CAPita mengukuhkan peranan penting dalam imunisasi untuk mengurangkan insiden dan beban vaksin pneumococcal CAP dan penyakit pneumococcal invasif (IPD) dalam kalangan warga emas.
Seperti yang dilaporkan dalam kajian ini, kira-kira 45.6 peratus kurang dalam episod pertama vaksin jenis CAP dalam kalangan mereka yang sudah disuntik berbanding mereka yang mengambil plasebo (kapsul gelatin).
Didapati juga kumpulan yang disuntik vaksin mengalami 45 peratus kurang episod pertama CAP bukan invasif dan bukan bakteria. Kes disebabkan IPD juga berkurang sebanyak 75 peratus dan ini menunjukkan vaksinasi untuk CAP sesungguhnya akan mengurangkan beban penyakit yang ketara antara orang dewasa.
Adalah penting untuk kita berjaga-jaga dengan CAP yang mudah dijangkiti apabila kita berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai seperti di sekolah, pasar, pesta atau bercuti ke destinasi pelancongan.
CAPita juga menunjukkan bahawa imunisasi wajar diberi keutamaan kerana ia adalah keadaan paling cekap untuk melindungi diri daripada CAP dan penyakit berjangkit lain yang mengancam nyawa. Manfaat vaksinasi melebihi kos yang berkaitan dengan pembangunan dan pentadbirannya. Ia juga adalah pilihan ekonomi yang baik kerana berpotensi mencegah kematian dan kemasukkan ke wad berikutan mengurangkan kos rawatan, penjagaan dan pemulihan.